Tuesday, 16 May 2017

Menjaga Kebersihan Hati


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Telebih dahulu marilah kita semua mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana pada waktu dan ketika anda membaca coretan ini, Allah masih sudi meminjamkan nyawa kepada jasad kita. Tanpa izin dan inayahnya kalian tidak akan berpeluang untuk mendengar perkongsian yang ingin saya bebelkan di dalam penulisan saya ini. Dan setinggi-tinggi rasa syukur kita ungkapkan kepada yang maha Esa kerana masih diberi 2 nikmat yang paling besar iaitu nikmat Iman dan Islam. Kerana apa? Kerana ada orang yang pada hari semalam mereka masih dalam agama Allah SWT, akan tetapi pada hari ini Allah telah tarik hidayah daripadanya menyebabkan ia berpaling kepada kekufuran. Manakala di waktu yang sama ada insan yang semalamnya belum mengenali apa itu ISLAM, akan tetapi dengan izin Allah SWT pada hari ini telahpun memeluk Islam dan melaksanakan segala tuntutan syariat.

Allah SWT berfirman :
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
maksudnya: Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk.(al-Qasas,56)

Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian..

Kenapa perlunya kita menjaga kebersihan hati? Kerana 100% hidup kita ini bergantung kepada status hati kita. Jika bersih hati kita, maka segala perbuatan yang kita lakukan juga perbuatan yang baik-baik. Begitu juga sebaliknya jika kotor hati kita, maka perkara-perkara yang dilakukan oleh tubuh kita ialah perkara yang munkar. Oleh itu para pembaca sekalian, seharusnya dalam diri setiap dari kita perlu ada sifat Muraqabah iaitu kita merasakan yang Allah itu sentiasa memerhatikan kita. Jika ada sifat itu dalam diri kita, sudah tentu kita akan merasa takut untuk melakukan perbuatan keji dan munkar serta kita akan senantiasa berwaspada dalam setiap amal kebajikan yang kita kerjakan dalam kehidupan seharian kita.

Sahabat-sahabat yang saya kasihi.

Imam Al-Ghazali berkata, 4 perkara yang mesti ada dalam diri setiap muslim.
  1. Cinta kepada Allah.
  2. Mengerjakan sesuatu hanya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT.
  3. Menjadi orang yang rindukan mati dan mengharapkan mati dalam keadaan husnul khatimah.
  4. Rindu untuk berada di syurga bersama Rasulullah SAW dan para sahabat RA.
Jika dalam diri kita sudah ada keempat-empat perkara itu, insyaAllah hati kita akan sentiasa dalam keadaan bersih dan terjaga segala amalan seharian kita. Berapa ramai dari kalangan kita yang bangun pada waktu paginya dengan menyebut kalimah Alhamdulillah? Dan berapa ramai di kalangan kita yang mulakan paginya dengan sujud kepada Allah SWT? Dunia akhir zaman ini, kebanyakannya bangun untuk mengejar harta kekayaan semata-mata sedangkan kita sudah tahu yang rezeki setiap dari kita sudah ditulis oleh Allah di Luh Mahfuz.

Prof. Dr. Muhaya menyatakan yang terdapat 3 komponen dalam hidup seseorang iaitu Roh, Minda, dan Fizikal. Roh berperanan sebagai pemerhati kepada setiap perlakuan kita. Manakala minda ialah komponen yang menjalani dan melihat apa yang kita lakukan. Komponen ketiga iaitu fizikal digunakan oleh kita untuk makan dan minum dan buat apa yang kita nak buat.

1 Sifat yang paling merbahaya dan perlu kita jauhi sejauh-jauhnya iaitu sifat Hasad Dengki. Dengki ini diumpamakan seperti daun-daun kering yang terbakar dengan cepatnya. Akan tetapi, perlu kita ketahui yang dengki ini terbahagi kepada 2 jenis iaitu dengki yang membawa kepada kemaslahatan dan dengki yang membawa kepada kemudaratan. Sebagai contoh kepada dengki yang membawa kemaslahatan, kita ada rakan sekelas yang sentiasa mendapat anugerah Dekan dalam peperiksaan akhir semester. Maka dengan sifat dengki kita, kita melipatgandakan usaha kita dalam pembelajaran untuk sama-sama mendapat anugerah Dekan itu juga. Manakala dengki yang membawa kemudaratan pula, kita merosakkan motor yang digunakan oleh rakan sekelas kita itu supaya dia tidak dapat hadir ke kelas dan kemudian tidak dapat masuk ke peperiksaan. Tindakan seperti tidak wajar dilakukan oleh kita kerana kita akan mendapat azab yang amat pedih di akhirat kelak.

Justeru, sama-samalah kita sucikan kembali hati-hati kita yang kotor dengan perbanyakkan istighfar dan melaksanakan solat sunat Taubat. Mudah-mudahan Allah ampunkan segala perkara munkar yang kita telah lakukan di dunia yang fana ini serta memelihara segala amal yang kita lakukan sehari-hari. Wallahu a'lam.



No comments:

Post a Comment